Thursday 1 October 2015

Madinah Dan Mekah

Pertama kali aku sujud di Masjid Nabawi, airmata mengalir tanpa henti.  Rasanya ingin ku tukarkan segala keinginan ku selama ini dengan sujudku di masjid ini.

Keesokan harinya, aku dan sahabatku ingin memasuki Raudhah iaitu taman disyurga, tapi kami tidak tahu arah tujunya. Aku sudah meminta izin suamiku untuk pergi ke masjid bersama sahabatku kerana ini memudahkan pergerakan kami didalam masjid. Kami solat hajat didalam masjid, mohon petunjuk dari Allah Taala.  Ketika sujud yang akhir, aku terbau harum semerbak, padahal sebelum tu, ditempat yang sama aku sujud, langsung tiada bau tersebut.  Usai solat, aku bertanya sahabatku tentang bau tersebut. "Takde bau apa-apa pun" jawabnya.  Aku terdiam, masih lagi berfikir tentang bau tersebut. Baunya sangat wangi, rasanya belum pernah aku terbau haruman seperti itu dan haruman itu hadir hanya beberapa saat sahaja.

Sedang kami bersiap-siap bergerak untuk mencari Raudhah, tiba-tiba ada seorang wanita melambai-lambai kepada kami sambil menyebut "Malayzia, Malayzia". Alhamdulillah. Rupa-rupanya ada satu kumpulan wanita bukan dari Malaysia (tak pasti dari negara mana tapi semuanya tinggi dan kulit agak gelap) yang akan memasuki Raudhah. Syukran. Dapatlah kami solat di dalam Raudhah petang itu. Allahuakbar.

Tahun 2013, sekali lagi aku diterima menjadi tetamu Allah Subhanahu Ta'ala. Di Masjidil Haram, usai tawaf sunat, aku teringin solat di Hijir Ismail tapi aku tidak berani untuk ke sana sebab orang terlalu ramai. Aku hanya berdiri ditangga untuk ke dataran sambil berfikir, alangkah seronoknya jika kawanku yang sering menemaniku ketika kali pertama aku menunaikan umrah buat kali pertama dulu ada pada saat ini.

Tiba-tiba datang seorang wanita yang terus memimpin aku masuk ke Hijir Ismail. Usianya dalam lingkungan 30an, bawa beg sama seperti sahabatku sering bawa ketika ke masjid. Dia menuntun tanganku sehingga kami sampai dibawah pancur emas, dia terus berdoa diikuti olehku. Kami solat sunat. Selesai, terus dia memimpin tanganku sehingga keluar dari Hijir Ismail. Aku mengucapkan terima kasih, dia mengangguk sambil tersenyum. Siapakah wanita yang baik hati ini, aku pun tak tahu sebab dia tidak bercakap kecuali mengangguk dan tersenyum. Maha suci Allah.

Cukuplah perkongsianku dan selebihnya, biarlah ku simpan dilubuk hati. Bukan aku ingin membangga diri tapi sedikit pengalaman yang terindah dalam hidupku yang ingin kukongsikan.

Syukur Alhamdulillah atas pemberian Allah Taala kepada insan yang kerdil ini.

Aku, abah, suami dan dua orang sahabat suamiku


No comments:

Post a Comment