Wednesday 30 September 2015

Musim Haji

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

Musim haji tiba lagi.
Sekali lagi hati aku membuak-buak ingin ke sana. Setiap tahun hati ini menaruh harapan supaya nama tersenarai untuk ke sana. Tahun ini, seperti tahun-tahun yang lepas juga.  Belum ada rezeki.

Sumber dari google
Aku pernah ke sana dengan menunaikan umrah. Semenjak itulah hati ini meronta-ronta ingin menunaikan haji pulak. Tahun 2011 dalam bulan Ramadhan iaitu secara tepatnya pada 27 Ramadhan buat pertama kalinya aku akan ke sana.

Tidak pernah terlintas yang aku akan ke sana. Kisahnya begini, seminggu sebelum Ramadhan, aku terbaca satu iklan tentang umrah. Aku tanyakan suami, dia bersetuju. Aku terus menempah dua pakej umrah dengan syarikat tersebut.

Sebulan menunggu dan sebulan itulah aku demam. Allahuakbar. Mungkin ini kifarah dari dosa-dosaku. Aku redha. Dalam masa sebulan tu, aku tidak berminat tengok televesyen atau mendengar radio. Makin hampir, aku semakin takut. Aku telefon ibuku, betul ke tindakan aku ni. Ibu menenangkan perasaanku dan menasihatkan aku, jangan tinggalkan solat taubat.

Hari yang dinantikan sudah tiba.  Jiran-jiran sibuk mengheret beg untuk balik ke kampung. Kami pun sibuk juga dengan beg tapi akan beraya bukan di kampung halaman tapi akan beraya di masjid Nabawi bersama Rasulullah.

Ada beberapa kejadian yang menunjukkan Kebesaran Allah Taala ketika disana. Inn Shaa Allah, nanti aku akan ceritakan untuk pedoman bersama.  Allahuakbar.



Tuesday 29 September 2015

Raya Korban

Terubat rindu bila dapat menatap wajah kedua ibu bapa yang tersayang. Walaupun terpaksa meredah lautan kesesakan jalanraya, penat, mengantuk tetapi saat yang dilalui ketika dapat mencium tangan kedua ibu bapa adalah yang terindah.  Siapa yang boleh memberi jaminan bahawa selepas ini kita dapat lagi bertemu kedua orang insan yang kita sayang ini.

Allahuakbar.  Sementara ibu bapa masih ada, marilah kita menghargai mereka.  Pengorbanan mereka yang sudah pasti tidak terbalas.  Hanya Allah sahaja yang akan membalas jasa mereka.  Sayang Ma dan Abah dunia akhirat.

Monday 14 September 2015

Pengenalan Diri

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Salam perkenalan dihulurkan, moga dapat menjalinkan persahabatan.
Nama penuh, Iliza binti Ibrahim dan dilahirkan di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan. Dikenali juga dengan nama Kak Ija.

Ketika berusia 6 bulan, keluarga saya telah berpindah ke Taiping, Perak. Maklumla, anak tentera, sekolah pun berpindah-randah. Seterusnya ke Kuala Lumpur dan balik tempat asal setelah ayah bersara.

Pernah menimba ilmu di politeknik dan universiti dalam bidang perniagaan. Pada mulanya, saya langsung tidak minat bidang pada bidang yang saya pilih, minat timbul ketika saya sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia, saya bekerja sebagai jurujual batik sutera di Pasar Majlis Perbandaran Kota Bharu, Kelantan. Keseronokan sebagai peniaga timbul sedikit demi sedikit dari situ walaupun saya sebagai pekerja sahaja pada waktu itu.

Untuk memenuhi hasrat hati sebagai meniaga, saya buat jualan kecil-kecilan kepada kawan-kawan pejabat waktu itu. Terubatlah hati walaupun untung tidak seberapa.

Kenangan lalu yang mengusik kalbu.