Thursday 25 February 2016

Mengapa diuji

Teks : iliza binti ibrahim
Foto : Ehsan google
Rujukan : Radio Ikim dan blog Hikmatul Islam

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Baru-baru ini, saya mendengar ceramah seorang ustaz dari radio ikim.  Tiba-tiba saya rasa macam tersedar dari mimpi.  Kata-kata ustaz tersebut betul-betul membuat saya tersentak dari tidur yang lena selama ini.  Kenapa kita berada diatas muka bumi Allah ini.  Kenapa kita sering diberi masaalah atau diuji, kerana kita perlu mendepani dan menyelesaikan masaalah atau ujian tersebut.  

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Ankabut :

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja hidup senang lenang) mengatakan, "Kami telah beriman", sedangkan mereka belun diuji?" (Al-Ankabut : 2)

Saya tahu maksud ayat tersebut diatas, tapi sekadar tahu, bukan mendalaminya.  Selalu saya berfikir dengan fikiran yang dangkal, kenapa saya tidak berhenti-henti diberi ujian padahal saya sudah melakukan sebagaimana yang sepatutnya seorang muslim lakukan.  Kenapa seseorang itu tidak mengikut perintah Allah, tapi diberi kehidupan yang senang.  MasyaAllah.  Tidak sepatutnya saya berfikir begini.  Naudzubilah.

Ketahuilah bahawa Allah hanya menguji orang yang dikasihiNya dan memberi peluang untuk mereka beramal.  

Seringkali kita bertanya, mengapa kita yang Allah pilih.  Mengapa kita yang Allah uji. Jawapannya, sebab cinta Allah.  Setiap ujianNya pasti terselit 3 tanda cinta.

Pertama, Allah ingin menghapuskan dosa-dosa kita.  Samaada dosa yang kita sedar atau tanpa sedar kita lakukan.

Kedua, selepas habis semua dosa, Allah mahu naikkan darjat kita.

Ketiga, Allah mahu gantikan dengan yang jauh lebih baik.

Dengan ujian ini, dekatkanlah diri dengan Allah, bertaubat, merintih dan merayu hanya kepada Allah. Kerana Allah mahu membersihkan kita dari dosa-dosa yang pernah kita lakukan.  Samada secara zahir atau batin.  Maka, setelah Allah mengampuni dosa-dosa kita dan kembali rapat kepadaNya, Allah akan gantikan semua kesakitan dan derita yang kita tanggung dengan kebahagian samada didunia atau diakhirat kelak.

Maafkan saya, sebenarnya kata-kata ini ditujukan pada diri sendiri.  Saya lebih menganggapkan coretan ini lebih kepada diari.  Untuk tatapan dihari kemudian.  Lagipun, siapalah saya untuk menjadi penasihat.  Orang yang tidak punya apa-apa.  Yang masih lagi tercari-cari jalan yang lurus. Semoga Allah memberi petunjukNya.  Amiiin.  




Wednesday 24 February 2016

Zuriat

Teks : iliza binti ibrahim
Foto : iliza binti ibrahim / Majalah Anis

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Majalah Anis bulan Februari 2016
Membaca artikel di atas teringat aku tentang satu kisah.

Pagi hari raya Aidil Fitri, usai sarapan, Lina sedang mengemaskan dapur sementara menanti, kalau-kalau ada tetamu sudi bertandang.  Hampir setengah jam kemudian, semuanya selesai.  Belum pun sempat Lina melabuhkan punggungnya, tiba-tiba terdengar salam diberi.  Wah, ramainya tetamu. Keluarga sebelah ibu Lina.  Ayah dan ibu diruang tamu sedang bersalaman sambil mempersilakan duduk.  Lina keluar sebentar untuk bersalaman.  Setelah beramah mesra, Lina terus ke dapur untuk menyediakan juadah.

Sedang Lina membancuh minuman, mereka turut juga ke dapur.  Melihat aku menyediakan hidangan. Sambil berbual-bual, Lina hanya tersenyum dan sesekali menyampuk percakapan mereka.  Tiba-tiba salah seorang dari mereka mengeluarkan topik yang paling Lina tak sanggup mendengar.  Zuriat.  10 tahun Lina melayari bahtera rumah tangga tetapi apakan daya, rezeki masih belum berpihak kepadanya. Kalau setakat bertanya, Lina tak ambil hati, tetapi jika penghinaan yang diberi...

"Engkau dah berapa tahun dah kahwin Lina" tanya salah seorang dari mereka.  Lina hanya tersenyum sambil menghidangkan nasi impit di atas meja.  "Buat habis beras je bela si Lina ni" kata orang tadi sambil tangan laju menyedok kuah nasi impit ke dalam pinggan.  "Kahwin lain je, buat apa nak tunggu lagi" kata seorang lagi, padahal waktu itu, Lina sedang menuang air teh ke dalam cawan insan tersebut. Kata-kata tersebut disambut dengan gelak ketawa beberapa orang lagi disitu.  Nasib baik. waktu tu suami Lina tiada di dapur kerana melayan tetamu lain diruang tamu bersama ayah dan ibu. Lina menahan air mata daripada menitis.  

Setelah selesai menghidangkan makanan, Lina minta diri untuk ke ruang tamu sebentar.  Dengan perlahan sambil menahan air mata, Lina terus masuk ke bilik.  Airmata yang sekian lama bertakung, terus meluncur laju tanpa perlu disekat-sekat lagi.  Lina terfikir, kenapa dia dihina begitu rupa. Padahal dia tak minta pun jadi begini.  Siapa yang tidak mahukan zuriat.  Tapi Allah tidak menjanjikan setiap perkahwinan itu akan mempunyai zuriat.  Mengapa mereka tidak faham tentang perkara ini.  Padahal masing-masing dah bergelar haji dan hajjah.  Hina sangatkah menjadi wanita yang tidak punya zuriat.  Adakah lebih hina dari seorang pembunuh. 

Sedang Lina melayan perasaan, anak saudara Lina yang sulung masuk ke dalam bilik.  Atie, berusia 3 tahun.  Dia memandang Lina sambil bertanya, "Kenapa Cik Long nangis".  Lina menjawab, "Sebab Cik Long takde baby".  Lantas Atie menjawab,"Cik Long jangan nangis, esok kita pergi supermarket, kita beli baby untuk Cik Long ye".  MasyaAllah, anak sekecil itu lebih memahami hati orang dewasa. Lina terus mengesat air mata lalu memeluk erat Atie.  Terima kasih Atie.

27 Ramadhan 1432 / 27 Ogos 2011 Bhg 3 (Akhir)

Teks : iliza binti ibrahim
Foto :

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Malam itu, buat pertama kalinya aku solat terawih di Madinah Al Munawarah.  AllahuAkbar.  Suara imam yang begitu syahdu membuatkan hati rasa bergetar ditambah lagi dengan isakan dari imam yang tiba-tiba terhenti bacaannya.  Setelah dapat menahan sebak didada, imam meneruskan bacaanya.

1 Syawal 1432

Kami nenunaikan solat sunat Aidil Fitri di Masjid Nabawi.  Selesai solat, para jemaah saling bertukar-tukar makanan, ada yang memberi kami biskut, gula-gula.  Seronoknya.  Masing-masing membawa makanan dari negara asal mereka.  Yang ada dalam beg aku ketika itu hanyalah biskut cap tiger. Maklumla, aku tak terfikir langsung yang aku akan menghadapi suasana begini.  Dengan perlahan aku menghulurkan biskut tersebut kepada jemaah-jemaah yang berhampiran denganku. Mereka mengambilnya sambil merasa, tersenyum dan mengangguk-anggukkan kepala.  Aku pun tersenyum. 

2 Syawal 1432

Mula berangkat ke Mekah.  Rasanya tidak perlulah aku bercerita secara terperinci pengalaman aku kerana rasanya perkara yang sama dilalui oleh setiap insan yang pernah hadir ke sini.  Perasaan yang tidak dapat digambarkan.  Cuma ada peristiwa pelik berlaku padaku.  Di Madinah juga aku mengalaminya dan aku telah mengabadikannya dibawah tajuk Mekah dan Madinah.

Macam biasa, aku akan ke masjid lebih awal sebelum masuk waktu zohor untuk solat Dhuha.  Aku berseorangan.  Aku terus membuat tawaf sunat sebelum menunaikan solat.  Biasanya pada waktu begini, jemaah tidak ramai membuat tawaf sunat berbanding waktu petang dan malam. Maklumla, matahari mula menyinar.  

Kalau tidak silap, dalam pusingan ke 5 atau ke 6, sedang aku tawaf dan berdoa tiba-tiba terasa kepala aku disapu dengan sekali lalu.  Aku terus berhenti.  Nak menoleh, takut terbatal pusingan tawafku. Aku menunggu seketika, tiada sesiapa yang berhampiran memintas aku.  Aku mengangkat kepala sedikit, mana tahu ada burung atas kepalaku.  Kosong.  Siapa yang menyapu kepala aku tadi.  Aku takut dan mula menangis.  Aku meneruskan tawaf, sambil berdoa, "Ya Allah, ampunkan dosaku". Alhamdulillah, tiada apa-apa terjadi selepas itu.  Maha Suci Allah.  Sehingga hari ini, aku tidak dapat merungkai disebalik kejadian tersebut.  Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.  

Alhamdulillah.


Wednesday 17 February 2016

27 Ramadhan 1432 / 27 Ogos 2011 Bhg 2

Teks : iliza binti Ibrahim
Foto :

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Kita bersambung ye.  Hari isnin, 1 Ramadhan 1432 / 1 Ogos 2011, hari pertama berpuasa, hari ke 2 aku demam, batuk dan selsema.  Biasanya jika aku demam atau batuk atau selsema, penyakit ini tidak bertahan lama bersarang dalam badanku.  Tapi kali ini lain, langsung tidak ada tanda-tanda akan sembuh.  Aku tetap ke tempat kerja seperti biasa.  Bertahan selagi terdaya.  

Perangai aku sedikit berubah, dulu pantang masuk kereta, pasti lagu akan berkumandang dicorong radio.  Kini, dalam kereta sunyi sepi.  Begitu juga dengan televisyen.  Mungkin disebabkan aku tidak sihat.  Tiba-tiba telinga pula berdengung.  Bertambah risau.  Aku hubungi klinik ditempat aku ambik suntikan untuk umrah.  Bertanyakan tentang kesan daripada suntikan yang aku ambil.  Katanya, apa yang aku alami tu tiada kena mengena dengan suntikan.  Risau. Alhamdulillah, dua hari selepas itu, rasa berdengung beransur hilang.

Hari yang dinantikan semakin hampir.  Setiap hari jika ada waktu terluang dipejabat aku baca buku yang dibekalkan travel agen tentang umrah.  Walaupun kurang faham.  Sambil tu aku sering menghubungi ibu dan kawan yang pernah menunaikan umrah.  Keluarga kami langsung tidak mengetahui akan pemergian kami ini kecuali ibu dan bapaku.  Tak tahu kenapa, langsung tidak terkeluar dari mulut kami untuk bercerita tentang pemergian ini.  Persiapan pun, melalui nasihat ibu dan temanku.  Bawa baju ala kadar.  Persiapan ala kadar.  

27 Ramadhan 1432 / 27 Ogos 2011

Pukul 12 tengahari, barulah suamiku menelefon adik beradik mohon maaf dan halalkan makan minum kami.  Mereka terkejut dan rasa terkilan sebab tak sempat menghantar kami ke lapangan terbang.  Sebenarnya kami tidak mahu menyusahkan sesiapa dan yang penting doa untuk kami. Alhamdulillah, sakitku mulai beransur pulih.

Pukul 3 petang, kami bertolak dari rumah dengan menaiki teksi.  Diwaktu itu jugalah, kelihatan jiran tetangga pun sibuk memasukkan beg-beg ke dalam kereta untuk pulang ke kampung halaman masing-masing, berhari raya.  Kami pun pergi beraya.  Tetapi bukan kampung halaman kami tapi beraya bersama Rasulullah saw.  Beraya dikampung halaman baginda.

Pukul 5 petang, tiba dilapangan terbang.  Jemaah masih belum ada.  Mungkin kami orang pertama. Satu jam kemudian, barulah ruang tempat kami menunggu dihampiri beberapa orang jemaah yang sama pakej dengan kami.  Ketika itu juga kami dihampiri oleh wakil travel agen bersama seorang mutawif.  Sedikit taklimat disampaikan sebelum kami bersurai untuk berbuka puasa dan menunaikan solat jamak Takdim.

Pukul 9.30 malam (lebih kurang), kami diarahkan bersedia untuk menaiki pesawat.  Debaran makin terasa.  Perjalanan selama 8 jam.  Singgah di Mesir selama 4 jam.  Kami menaiki pesawat Egypt Air.

28 Ramadhan 1432 / 28 Ogos 2011

Kami tiba tengahari di Jeddah.  Terus bertolak menaiki bas menuju ke Madinah.  Tempoh perjalanan lebih kurang 4 ke 5 jam.  Kami tiba didepan pintu hotel disambut dengan suara azan maghrib dari Masjid Nabawi.  AllahuAkbar.  Kami terus ke dewan makan untuk berbuka dan menunaikan solat maghrib.

Bersambung lagi...





Monday 15 February 2016

27 Ramadhan 1432 / 27 Ogos 2011 Bhg 1

Teks : iliza binti ibrahim
Foto : Ehsan google

Bismillahhirahmanirrahim

Assalamualaikum dan salam ceria semua

Walaupun sudah lama tarikh keramat ini berlalu tetapi kesan dan kenangannya masih terpahat kemas dalam hati ini.  Itulah tarikh buat pertama kalinya kaki aku meninggalkan bumi Malaysia menuju ke negara padang pasir.  MasyaAllah.  Sukar untuk aku gambarkan perasaan ini. 

Masih ku ingat, seminggu sebelum bermula bulan Ramadhan, aku terbaca iklan di surat khabar menunaikan umrah sambil ziarah Mesir.  Aku terus memotong iklan dalam surat khabar tu untuk ku tunjukkan kepada suami.  Padahal sebelum tu langsung tidak terlintas di fikiran ini untuk menunaikan umrah.  Aku daftar haji pun sebab ibuku yang selalu mendesak.  Betapa dangkalnya fikiran ku. Pernah kawanku menyarankan aku pergi umrah di bulan Ramadhan sebab katanya aku ni dah layak menunaikan umrah, Seronok katanya.  Aku buat acuh tak acuh je.  Dalam hati jawab, aku takkan pergi ke mana-mana dalam bulan puasa, nanti penat kecuali balik kampung.

Itulah kuasa Allah SWT, apa yang aku kata menjadi disebaliknya.  Tak tahu kenapa, hati ini tiba-tiba melonjak-lonjak nak pergi ke Mekah.  Padahal pengetahuan aku kosong.  Aku tak pernah menonton perihal haji atau umrah di telivisyen.  Tidak pernah buat carian di internet tentang haji atau umrah. Tak tahu kenapa.  Cuma aku pernah terbaca buku teladan atau cerita kifarah tentang menunaikan haji atau umrah.  Itupun, sebab ibu ku selalu baca. 

Setelah mendapat persetujuan dari suami, aku terus menelefon agensi yang mengiklan tentang perkhimatan umrah tersebut.  Masih ada kosong katanya.  Aku terus buat tempahan untuk dua orang. Selepas waktu pejabat keesokannya, kami bergegas ke travel agensi tersebut.  Siap bawa bank draf untuk buat bayaran.  Bila sampai di sana, aku terus ingin buat bayaran tapi malangnya, mereka kata dah penuh.  Mereka suruh kami pilih tarikh lain.  Lebih awal.  Mana mungkin.  Bukan senang untuk kami memohon cuti panjang dalam masa tak sampai sepuluh hari.  Aku bertegas mengatakan yang aku dah buat tempahan.  Walaupun begitu, aku masih cool, takut nak marah-marah.  Mungkin ni ujian yang pertama untuk kami.  Tiba-tiba ada kakitangan disitu menyampuk, memang nama kami dah termasuk dan boleh bayaran sekarang.  Mungkin ternampak kami didepan kaunter dan terdengar perbualan kami.  Lega.  Kami diarahkan membuat suntikan dan menyediakan gambar ukuran pastport.  Klinik dan kedai gambar tidak jauh daru situ.  Kami bergegas pergi.  

Sampai ke kedai gambar kami terus mengambil gambar tapi gambar tu tidak boleh siap hari ni.  Esok baru siap. Tapi tauke kedai gambar tu kata dia akan hantar gambar tu ke travel agensi tersebut. Alhamdulillah.  Satu lagi bab, ambik suntikan untuk umrah.  Klinik pun berdekatan dengan kedai gambar tersebut.  Tidak sampai satu jam.  Semuanya selesai. Hari khamis.  Kursus terakhir untuk umrah hujung minggu ni.  Sabtu dan ahad.  Aku datang hari ahad.  Demam.  Rasanya gara-gara suntikan kut atau aku dapat kifarah awal untuk membersihkan diri aku yang kotor ini.  Tak selera makan.  Monyok je.  Esok bermula 1 Ramadhan 1432.  


Kita berhenti kejap ye...nanti sambung lagi

Friday 5 February 2016

Ya Allah...Makbulkan Doaku

Teks : Iliza binti Ibrahim
Foto : Carian Google

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua



Jangan bersedih jika doamu tidak dimakbulkan.  
Jangan berputus asa jika doamu tidak dimakbulkan. 
Jangan berburuk sangka kepada Allah jika doamu tidak dimakbulkan.  

Bila Allah cepat makbulkan doamu, maka Dia menyayangimu.
Bila Dia lambat memakbulkan doamu, maka Dia sedang mengujimu.
Bila Dia tidak makbulkan doamu, maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu atau Dia menggantikan sesuatu yang lebih baik dan lebih diperlukan.

Mungkin ramai diantara kita yang merasakan, mengapa doa aku tidak dimakbulkan.  Kemungkinan apa yang kita minta langsung tidak sesuai atau tidak diperlukan.  Mungkin dari doa kita yang bersungguh-sungguh dan tidak putus-putus, Allah menggantikan sesuatu yang kita perlukan.

Sebagai contoh, ketenangan, kesihatan, keharmonian rumah tangga, keselamatan dan banyak lagi yang kita terlepas pandang.  Allah Maha Adil dan Maha Mengetahui.

Kemungkinan juga, Allah menyimpan doa kita untuk diakhirat nanti.  Mungkin juga Allah meringankan azab kita dan lebih baik, Allah menggantikan syurga.  Allahuakbar.  Bukankah terlepas dari seksaan itu lebih besar lagi daripada apa yang kita harapkan didunia.

Bersangka baiklah pada Allah dalam apa jua keadaan.
Kasih sayang Allah mendahului kemurkaanNya.

Tenanglah wahai hati.



Wassalam.