Wednesday 24 February 2016

Zuriat

Teks : iliza binti ibrahim
Foto : iliza binti ibrahim / Majalah Anis

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Majalah Anis bulan Februari 2016
Membaca artikel di atas teringat aku tentang satu kisah.

Pagi hari raya Aidil Fitri, usai sarapan, Lina sedang mengemaskan dapur sementara menanti, kalau-kalau ada tetamu sudi bertandang.  Hampir setengah jam kemudian, semuanya selesai.  Belum pun sempat Lina melabuhkan punggungnya, tiba-tiba terdengar salam diberi.  Wah, ramainya tetamu. Keluarga sebelah ibu Lina.  Ayah dan ibu diruang tamu sedang bersalaman sambil mempersilakan duduk.  Lina keluar sebentar untuk bersalaman.  Setelah beramah mesra, Lina terus ke dapur untuk menyediakan juadah.

Sedang Lina membancuh minuman, mereka turut juga ke dapur.  Melihat aku menyediakan hidangan. Sambil berbual-bual, Lina hanya tersenyum dan sesekali menyampuk percakapan mereka.  Tiba-tiba salah seorang dari mereka mengeluarkan topik yang paling Lina tak sanggup mendengar.  Zuriat.  10 tahun Lina melayari bahtera rumah tangga tetapi apakan daya, rezeki masih belum berpihak kepadanya. Kalau setakat bertanya, Lina tak ambil hati, tetapi jika penghinaan yang diberi...

"Engkau dah berapa tahun dah kahwin Lina" tanya salah seorang dari mereka.  Lina hanya tersenyum sambil menghidangkan nasi impit di atas meja.  "Buat habis beras je bela si Lina ni" kata orang tadi sambil tangan laju menyedok kuah nasi impit ke dalam pinggan.  "Kahwin lain je, buat apa nak tunggu lagi" kata seorang lagi, padahal waktu itu, Lina sedang menuang air teh ke dalam cawan insan tersebut. Kata-kata tersebut disambut dengan gelak ketawa beberapa orang lagi disitu.  Nasib baik. waktu tu suami Lina tiada di dapur kerana melayan tetamu lain diruang tamu bersama ayah dan ibu. Lina menahan air mata daripada menitis.  

Setelah selesai menghidangkan makanan, Lina minta diri untuk ke ruang tamu sebentar.  Dengan perlahan sambil menahan air mata, Lina terus masuk ke bilik.  Airmata yang sekian lama bertakung, terus meluncur laju tanpa perlu disekat-sekat lagi.  Lina terfikir, kenapa dia dihina begitu rupa. Padahal dia tak minta pun jadi begini.  Siapa yang tidak mahukan zuriat.  Tapi Allah tidak menjanjikan setiap perkahwinan itu akan mempunyai zuriat.  Mengapa mereka tidak faham tentang perkara ini.  Padahal masing-masing dah bergelar haji dan hajjah.  Hina sangatkah menjadi wanita yang tidak punya zuriat.  Adakah lebih hina dari seorang pembunuh. 

Sedang Lina melayan perasaan, anak saudara Lina yang sulung masuk ke dalam bilik.  Atie, berusia 3 tahun.  Dia memandang Lina sambil bertanya, "Kenapa Cik Long nangis".  Lina menjawab, "Sebab Cik Long takde baby".  Lantas Atie menjawab,"Cik Long jangan nangis, esok kita pergi supermarket, kita beli baby untuk Cik Long ye".  MasyaAllah, anak sekecil itu lebih memahami hati orang dewasa. Lina terus mengesat air mata lalu memeluk erat Atie.  Terima kasih Atie.

No comments:

Post a Comment