Wednesday 28 October 2015

Ketabahan Seorang IBU

Teks : Iliza binti Ibrahim

Saat aku menulis, ibu masih lagi di dalam wad.  Semalam, ibuku dikejarkan ke hospital kerana sesak nafas.  Tidak pernah ibuku sakit sedemikian rupa.  Badan tiba-tiba bertukar biru.  Sukar bernafas. Lantas ibu terus dibawa ke hospital dibahagian kecemasan.  Kami menunggu dengan cemas.  tak putus-putus berdoa.  Kesian ibu.  Jasa beliau tidak terbalas.

Aku masih ingat lagi, ketika itu, aku berusia tujuh tahun.  Satu malam, aku tertidur awal tanpa sempat menjamah hidangan malam.  Mungkin kepenatan.   Sedang dibuai mimpi, tiba-tiba aku tersedar dari tidur.  Perut berkeroncong.  Aku kejutkan ibu.  "Saya lapar," rintihku pada ibu.  "Lapar...tunggu kejap ye," kata ibu.  Sambil menyanggul rambut, ibuku bangun.  Terus ke dapur, aku membuntuti ibu. Berteleku di meja.  Ibu terus capai periuk dan masak nasi serta menggoreng telur.  Malam tu aku makan nasi lauk telur campur kicap.  Macam orang bangun sahur.  Betapa sabar seorang ibu melayan kerenah anak.  

Setelah selesai pemeriksaan, ibu disahkan terkena jangkitan paru-paru berkuman dan jantung bengkak.  Allahuakbar.  Ya Allah, tabahkanlah hati ibu.  Panjangkanlah umur ibu. Berkatilah usia ibu.   Ya Allah, pindahkanlah sakit itu padaku.  Biar aku yang menanggungnya.  Aku tidak kuat menatap wajah ibu.  Air mata pasti menitis.  Aku perlukan doa dari seorang ibu. Aku memang rapat dengan ibu.  Aku anak sulung.  Banyak kenangan yang indah bersamamu wahai ibu. Takkan ku lupakan hingga akhir hayatku.  Ya Allah hanya padamu aku bermohon.  

No comments:

Post a Comment