Wednesday 20 January 2016

Nasi kukus ayam dara berempah

Teks : Iliza binti Ibrahim
Foto : Ehsan google

Bismilahirrahmanirrahim

Assalamualaikum dan salam ceria semua

Semalam keluar makan tengahari bersama seorang teman, pergi salah sebuah medan selera di sebuah kementerian.  Disini terdapat banyak gerai yang menjual pelbagai jenis makanan.  Macam-macam ada, semuanya menyelerakan.  Kawan mengajak ke gerai yang menjual nasi kukus bersama ayam dara berempah.  Saya mengikut sahaja.  Sampai di gerai tersebut, kawan saya bertegur sapa dengan pemilik gerai tersebut yang sedang sibuk membungkus makanan yang dipesan oleh pelanggan. Waktu itu pelanggan masih belum ramai.  Jadi sempatlah mereka saling bertanya khabar. Selepas memesan dua pinggan nasi kukus ayam dara kami terus mencari tempat untuk menjamu selera. Memang sedap.

Semasa makan kawan saya membuka cerita.  Rupa-rupanya, kawan saya ni mengenali pemilik gerai tersebut.  Suatu ketika, Ali (bukan nama sebenar)pernah berniaga nasi beraneka lauk ditempat kawan saya bekerja.  Pada suatu hari, dengan tanpa notis, Ali diarahkan berhenti berniaga dan dia juga tidak diberitahu sebabnya.  Dengan hati yang hancur luluh, Ali datang mengadu kepada kawan saya sambil menangis, kenapa mereka tergamak membuat keputusan tanpa sebab.  Lagi menyedihkan, macamana dia nak memberi anak-anaknya makan, pakai dan keperluan lain.  Betapa beratnya mata memandang berat lagi bahu memikul.  Hampir setahun kawan saya tidak mendengar khabar berita.  

Ehsan google - Nasi kukus ayam dara berempah
Sambil makan, sesekali mata saya memandang ke arah gerai Ali, sebentar tadi gerainya hanya terdapat dua atau tiga orang pelanggan tapi kali ini, lebih sepuluh orang sedang beratur untuk mendapatkan nasi kukus ayam berempahnya.  Alhamdulillah.  

Mungkin dia redha di atas dugaan yang telah Allah SWT berikan.  Bersangka baik kepada Maha Pencipta.  Percayalah.  Bumi tidak akan dibasahi hujan sepanjang masa pasti pelangi akan muncul pada saat dan ketikanya.

Sekian

No comments:

Post a Comment