Thursday 17 December 2015

Tersalah Bonceng

Teks : Iliza binti Ibrahim

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Entah kenapa, petang ni banyak pulak teringat kisah lucu.  Mungkin aku sedang cuba mengalihkan fikiran aku tentang kemalangan jalan raya semalam.

Ini kisah kawan aku.  Tidak perlulah aku menyebut namanya.  Sekadar pengalaman yang boleh jadi pedoman.  Kisahnya begini...

Pada kebiasaannya pekerja wanita akan diambil oleh suami masing-masing selepas waktu pejabat. Begitu juga diwaktu pagi.  Mereka akan dihantar oleh suami.  Jadi tidak hairanlah, jika waktu petang berderet-deret motor atau kereta bersusus depan pejabat.

Nak dijadikan cerita, kawan aku ni bergaduh dengan suaminya hari itu.  Suaminya datang dengan motor dan setia menunggu sang isteri walaupun ada persengketaan.  Suami mithali.  Kalau dah bergaduh, pastilah tidak bertegur sapa.

Kawanku dengan hati yang masih lagi ada perasaan geram dengan suami terus membonceng motor yang disangkakan suaminya.  Dalam perjalanan masing-masing mendiamkan diri.  Tetapi kawanku terperasan, kenapa suaminya tidak ikut jalan yang selalu mereka lalu.  Ahhh...mungkin orang tua ni nak singgah mana-mana.  Disebabkan perasaan tidak puashati masih lagi bersisa, kawanku tidak bertanya hinggalah mereka sampai disebuah rumah.  Kawanku masih lagi tidak turun dari motor.   "Apalagi, turunlah" kata si 'suami'.  Mendengarkan suara suami lain, kawanku terkocoh-kocoh turun dari motor.  Terus dia memandang si 'suami' tadi.  Ya Allah...

Terus kawan aku lari keseberang jalan dan menahan teksi dan kembali lagi ke pejabat.  Sampai dipejabat, dilihat, suaminya masih lagi setia menanti diatas motor.  Tanpa berlengah, kawanku terus membonceng motor suaminya yang sebenar.  

Rupa-rupanya, motor yang ditunggang tadi motor suami kawannya.  Kebetulan suami kawan kepada kawan aku ni pakai jubah putih petang tu dan suami kawan aku ni memang selalu berjubah putih. Ketika kawan aku sampai dipejabat tadi, kawannya masih lagi menunggu suami yang tersalah angkut isteri.

Semasa sedang menaip kisah ni, perasaan gelihati tu masih ada.  Itulah, kalau nak bergaduh pun jangan lama-lama.  Tiada siapa pun akan untung.  Makin rugi adalah..

Sekian

No comments:

Post a Comment