Thursday 17 December 2015

Cabut Bulu Ayam

Teks : Iliza binti Ibrahim

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Pernah tak anda cabut bulu ayam?

Aku ni banyak pengalaman lucu.  Salah satunya, pengalaman cabut bulu ayam.  Pengalaman ni dah lama, masa aku mula-mula pergi ke rumah arwah mak mertua. Mak mertua aku ni banyak bela ayam kampung.  Memanglah, kalau nak dikira, ayam kampung ni lebih bagus daripada ayam bandar. Tapi, aku tak pernah makan ayam kampung.  Nak dekat dengan ayam pun aku takut.  Takut kena patuk.

Suami aku ni pulak, pantang balik kampung, mesti nak tangkap ayam pastu sembelih sehinggakan kalau suami aku balik kampung, ayam mak mertua aku tak balik rumah.  Agaknya mereka dah cam kut, pembunuh ayam dah balik kampung.  Aku ni pulak tak biasa dengan binatang ternakan.  Anak tentera.  Manala ada bela binatang tu semua.  Selalu tinggal kat kuarters.  Atuk dan nenek aku pulak tinggal kat bandar.  Sebelah abah di Pengkalan Chepa, sebelah ma di Kota Bharu.  Dua-dua Kelantanis.  Takde ayam, kambing, lembu atau kerbau.  Bukan aku nak berbangga, tidak semestinya orang bandar tu kaya dan tidak semestinya orang kampung itu miskin.  Keluargaku, orang biasa-biasa sahaja. 

Semasa dirumah mak mertuaku, terjadilah penyembelihan ayam beramai-ramai.  Suami aku menyuruh aku memegang kaki ayam sementara dia menyembelih ayam.  Kirim salam.  Aku lari masuk rumah.  Langsung aku tak keluar.  Selepas semua ayam mati barulah aku muncul.  Ingatkan dah selamat.  Rupa-rupanya, ada tugas mencabar menanti aku.  Mak mertua aku menghulurkan beberapa ekor ayam yang telah siap dicelur untuk dicabut bulunya.  MasyaAllah, camana ni?  Takpe, aku pura-pura tidak kekok untuk membuat kerja tersebut.  Terus aku letak besen yang berisi ayam dan mula bersila depan besen.  Mak mertuaku sedang tekun mencabut bulu ayam yang lain.  Pertama kali aku pegang dan cabut bulu ayam, bulu roma aku menegak.  Sehelai cabut aku berenti, cabut lagi sehelai, berhenti.  Terasa macam aku menarik bulu roma dilengan. Mak mertua aku dah siap togelkan seekor ayam sedangkan aku baru cabut beberapa helai.  Tengok aku masih lagi terhegeh-hegeh, mak mertuaku bagi tugas lain.  Kopek bawang.  Alhamdulillah.  Itulah pertama kali dan terakhir kali aku cabut bulu ayam.  Semenjak hari itu, jika berlaku penyembelihan ramai-ramai, aku tidak diletakkan dibahagian itu lagi.  


No comments:

Post a Comment