Wednesday, 7 October 2015

Unit Trust Consultant

Teks : Iliza binti Ibrahim

Rasa kembang hidung sebab apabila dapat keputusan lulus dalam peperiksaan untuk menjadi 'Unit Trust Consultant'.  Alhamdulillah. Kalau tak silap dalam tahun 2012. Aku dah dapat lesen.  Mulai saat tu, dengan sesiapa je aku berjumpa mesti nak bercerita pasal saham yang aku wakili.

Bukan senang rupanya nak memujuk pelanggan untuk membeli saham atau menabung.  Mungkin aku kurang pengalaman atau mungkin aku sendiri kurang minat dalam bidang ini.  Setahun aku bertahan, dapatlah lima orang pelanggan.

Aku memang tabik 'spring' pada mereka yang berjaya dalam bidang ini terutamanya sifu aku, Pn Fadzilah binti Mamat.  Sekarang ni beliau sedang menerajui Butik Benang Hijau.  Semoga lebih berjaya Pn Fadzilah.


Melayan pelanggan

Dah Jumpa

Teks : Iliza binti Ibrahim

Alhamdulillah, lega rasanya.  Dah jumpa.  Macam kucing hilang anak rasanya.  Dahla aku ni spesis yang malu nak bergambar.  Takut nanti gambar rosak.

Semenjak berjinak-jinak dengan penulisan blog ni, aku sibuk membelek gambar-gambar dalam simpanan kat laptop.  Bila tengok gambar, baru dapat idea nak menulis.  Tiba-tiba aku terperasan, banyak gambar yang aku ambil, tiada dalam simpanan.

Jenuh aku mencari, klik sana klik sini, habisla gambar aku hilang.  Buka kamera, pun dah dipadamkan gambar-gambar tu semua.  Sedihnya.

Entah macamana, jari terklik kat 'new volume', terkeluar gambar-gambar tersebut.  Kat sini rupanya kamu bersembunyi.

Syukur Alhamdulillah.

Tuesday, 6 October 2015

Kologen

Teks : Iliza binti Ibrahim

Pernah tak rasa kulit kering, kulit kaki pecah.  Aku pernah mengalaminya.  Hidup aku sentiasa berkepit dengan losyen badan.  Sentiasa bawa kemana sahaja aku pergi.  Pelbagai jenama vitamin aku ambil, konon untuk lembabkan kulit.  Ada yang memberi kesan tapi seketika sahaja dan ada juga yang langsung tiada kesan.  Agaknya belum jumpa yang serasi.

Sehinggalah pada suatu hari, aku terjumpa dengan produk ni.  Tujuan aku mengambil produk ni hanyalah untuk kesihatan dalaman.  Berjaga-jaga sebelum diserang penyakit.

Selepas sebulan, baru perasan kulit aku tidak kering lagi. Wah, seronoknya.  Rasanya sangat berbaloi.  Rupa-rupanya, Jeli Gamat yang aku ambil tu juga mengandungi kologen.







Selepas tu, aku mula mempromosi produk ni kepada kawan-kawan dan sehingga kini ada yang membuat pesanan berulang.  Terima kasih semua.

Kalau ada sesiapa yang berminat, wasap ye 012 6140336

Pasar MPKB Lama

Teks : Iliza binti Ibrahim

Assalamualaikum dan Selamat Pagi.


Carian dari Google

Hari ni nak 'flash back' sikit.  Kisah ni bermula 20 tahun yang lampau.
Masa tu dah habis belajar tapi belum dapat kerja.  Selalulah aku pergi melepak kat kedai kawan aku ni.  Kedai dia dalam pasar Majlis Perbandaran Kota Bharu, jual batik sutera.  Memang dia ada kilang membuat batik sendiri.  Pada mulanya, langsung aku tidak berminat bab-bab meniaga ni.

Dah selalu datang kat situ, kawan aku tanya, "engkau nak tak jadi jurujual batik sutera kat kedai kawan aku?".  Kedai tu terletak berdekatan dengan kedai kawan aku. Daripada aku duk melangut, takde pendapatan, baik aku terima.


Lebih kurang macam ni la tempat aku mula-mula mengenali erti meniaga

Paling seronok waktu cuti sekolah. Tak menang tangan melayan pelanggan.  Paling seronok bila kain-kain batik ni dibuka untuk ditunjuk pada pelanggan sebab bukan semuanya aku tahu coraknya. Setiap helai kain tersebut berlainan coraknya.  Walaupun penat sebab kena lipat dan susun balik kain tersebut tapi rasa puas.

Kalau takde pelanggan, aku suka baca novel.  Pengarang paling aku minat ialah Abdul Talib Hassan dan Abdul Rahim Awang.

Beberapa bulan sahaja aku bekerja disitu sebab dapat sambung belajar lagi.  Selamat tinggal Pasar MPKB, sekarang ni dah takde pasar tu. Semua peniaga telah dipindahkan ke Bazar Tok Guru. Pasar MPKB telah dirobohkan.  Tinggal kenangan.

Monday, 5 October 2015

Sewa gerai

Teks : Iliza binti Ibrahim

Awal bulan Ramadhan tahun 2015, aku cuba nasib dengan membuka gerai yang disewa dari salah sebuah jabatan kerajaan di Kuala Lumpur.  Dua hari, tidak menaruh harapan, sekadar mencari pengalaman.

Tepat 7.30 pagi, aku sudah terpacak didepan dewan yang menyediakan tapak gerai tersebut. Alamak, dewan belum buka lagi.  Pukul 8.30 pagi, dewan akan dibuka, kata pengawal yang bertugas.  Satu jam lagi kena tunggu.  Kelihatan dua orang peniaga sibuk mengeluarkan barang-barang dagangan masing-masing.

Tepat 8.30 pagi, pintu dibuka.  Apalagi, mengangkutlah barang masing-masing sambil meninjau-ninjau tempat yang telah disediakan.  Setiap orang dapat sebuah meja dan telah dilekatkan nama masing-masing pada meja tersebut.

Masing-masing mula menyusun barang.  Kelihatan mereka sangat profesional berbanding aku yang pertama kali. Selesai. Senyum.

Sebelum didatangi pelanggan

Alhamdulillah.  Dua hari disitu, Hasilnya diluar jangka.  Aku fikir, takpelah kalau takde orang beli, sekurang-kurangnya, dapat pengalaman.

Semua 'skill' aku keluarkan, dari pembacaan atau dari pengalaman teman-teman, juga pengalaman aku ketika jadi jurujual kain batik sutera di Pasar Kota Bharu, 20 tahun yang lampau.  Lucu bila mengenangkannya, menggelabah pun ada waktu tu.




Jerebu Oh Jerebu

Teks : Iliza Ibrahim

Sudah beberapa hari ni kepala rasa pening setiap kali keluar dari rumah. Jarak pandangan pun terbatas.  Teruk rupanya kesan jerebu ni.  Cepatla berlalu wahai jerebu. Tidak sabar rasanya hendak menatap langit yang biru.

Walaupun berjerebu, kenduri-kendara mesti diteruskan juga, maklumlah, persiapan mungkin telah dibuat beberapa bulan atau setahun sebelum majlis.  Bagi mereka yang meraikan majlis dalam dewan, selamatlah.

Kesan jerebu, matahari pun dah jadi macam bulan.
Kredit kepada pemilik blog - Anehnya Kita

Thursday, 1 October 2015

Madinah Dan Mekah

Pertama kali aku sujud di Masjid Nabawi, airmata mengalir tanpa henti.  Rasanya ingin ku tukarkan segala keinginan ku selama ini dengan sujudku di masjid ini.

Keesokan harinya, aku dan sahabatku ingin memasuki Raudhah iaitu taman disyurga, tapi kami tidak tahu arah tujunya. Aku sudah meminta izin suamiku untuk pergi ke masjid bersama sahabatku kerana ini memudahkan pergerakan kami didalam masjid. Kami solat hajat didalam masjid, mohon petunjuk dari Allah Taala.  Ketika sujud yang akhir, aku terbau harum semerbak, padahal sebelum tu, ditempat yang sama aku sujud, langsung tiada bau tersebut.  Usai solat, aku bertanya sahabatku tentang bau tersebut. "Takde bau apa-apa pun" jawabnya.  Aku terdiam, masih lagi berfikir tentang bau tersebut. Baunya sangat wangi, rasanya belum pernah aku terbau haruman seperti itu dan haruman itu hadir hanya beberapa saat sahaja.

Sedang kami bersiap-siap bergerak untuk mencari Raudhah, tiba-tiba ada seorang wanita melambai-lambai kepada kami sambil menyebut "Malayzia, Malayzia". Alhamdulillah. Rupa-rupanya ada satu kumpulan wanita bukan dari Malaysia (tak pasti dari negara mana tapi semuanya tinggi dan kulit agak gelap) yang akan memasuki Raudhah. Syukran. Dapatlah kami solat di dalam Raudhah petang itu. Allahuakbar.

Tahun 2013, sekali lagi aku diterima menjadi tetamu Allah Subhanahu Ta'ala. Di Masjidil Haram, usai tawaf sunat, aku teringin solat di Hijir Ismail tapi aku tidak berani untuk ke sana sebab orang terlalu ramai. Aku hanya berdiri ditangga untuk ke dataran sambil berfikir, alangkah seronoknya jika kawanku yang sering menemaniku ketika kali pertama aku menunaikan umrah buat kali pertama dulu ada pada saat ini.

Tiba-tiba datang seorang wanita yang terus memimpin aku masuk ke Hijir Ismail. Usianya dalam lingkungan 30an, bawa beg sama seperti sahabatku sering bawa ketika ke masjid. Dia menuntun tanganku sehingga kami sampai dibawah pancur emas, dia terus berdoa diikuti olehku. Kami solat sunat. Selesai, terus dia memimpin tanganku sehingga keluar dari Hijir Ismail. Aku mengucapkan terima kasih, dia mengangguk sambil tersenyum. Siapakah wanita yang baik hati ini, aku pun tak tahu sebab dia tidak bercakap kecuali mengangguk dan tersenyum. Maha suci Allah.

Cukuplah perkongsianku dan selebihnya, biarlah ku simpan dilubuk hati. Bukan aku ingin membangga diri tapi sedikit pengalaman yang terindah dalam hidupku yang ingin kukongsikan.

Syukur Alhamdulillah atas pemberian Allah Taala kepada insan yang kerdil ini.

Aku, abah, suami dan dua orang sahabat suamiku